Monday, May 31, 2010

LAGU KANAK-KANAK : LAGU TIGA KUPANG

Lagu tiga kupang
Sagu penuh padi
Enam ekor burung
Masuk dalam kuali

Bila sudah masak
Burung nyanyi saja
Tentu sedap makan
Beri pada raja

Raja dalam rumah
Buat kira-kira
Suri dalam dapur
makan roti gula

Dayang tepi kolam
Mahu jemur tepung
Datang burung hitam
Patuk batang hidung


Wednesday, May 26, 2010

PANTUN LAPAN KERAT

Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Bekejar-kejaran anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukur aku kepada Tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.

Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan;
Cawan, cerek sudah teratur,
Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

Korek perigi di parit seberang,
Tepi parit tumbuh mengkudu,
Berselang dengan pohon puding,
Hidup subur kanan dan kiri;
Tuan pergi dagang seorang,
Tuan saudara tempat mengadu,
Tiada saudara tempat berunding,
Pandai-pandailah membawa diri.


Sumber: Permatang Budi,1991.
Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tuesday, May 25, 2010

SYAIR JONG PECAH

Assalamualaikum saya ucapkan,
Selamat sejahtera handai dan rakan,
Sebuah syair saya sajikan,
Bersama-sama kita menungkan.

Duhai dengarlah suatu cetera,
Di zaman dahulu sebuah negara,
Bangsa bijak gagah perwira,
Hidup bersatu aman sejahtera.

Berkali-kali dicuba musuh,
Negara dilanggar hendak diruntuh,
Berkat bersatu rakyat teguh,
Tetap berdaulat berdiri kukuh.

Hinggalah sampai saat yang gelap,
Entah di mana salah dan silap,
Entah siapa lalai dan lelap,
rakyat berbalah daulat pun malap.

Jadilah kita bangsa terjajah,
Terjejas daulat tercemar maruah,
Politik rebeh ekonoi rebah,
Siang malam berhati gundah.

Kita dijajah empat kurun,
Ditambah empat puluh enam tahun,
Budaya dan ilmu setandus gurun,
Harga diri semakin turun.

Bangkit pahlawan demi pahlawan,
Berjuang merebut kemerdekaan,
Bunga bangsa gugur terkorban,
Harumnya lesap ditelan zaman.

Sampailah waktu rakyat jelata,
Berpadu erat seia sekata,
Tahan bahaya tahan derita,
Mendaulat kembali negara kita.

Tiga puluh tiga tahun sejak bergema,
Kata merdeka dilaung bersama,
Negara dan bangsa menempa nama,
Banyak impian telah terjelma.

Aduh mengapa kita berbalah,
Sama sendiri berpecah-pecah,
Kenyanglah yu bila jong pecah,
Hitamlah tanda dalam sejarah.

Ya Illahi Tuhan yang Rahman,
Teguhkan bangsaku di dalam iman,
Ke arah perpaduan berikan pedoman,
Agar sejahtera zaman-berzaman.

Tamatlah sudah madah dan cetera,
Untuk renungan saudari saudara,
Bersatu bangsa teguh negara,
Wassalamualaikum, salam sejahtera.


Sumber: Adibah Amin
Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Friday, May 21, 2010

LAGU KANAK-KANAK : TANYA SAMA POKOK

Tanya sama pokok apa sebab goyang
Nanti jawab pokok angin yang goncang
Tanya sama angin apa sebab hujan
Nanti jawab angin tanyalah awan

Awan nanti kata aku kandung air
Sampai tempat sejuk aku pun cair
Lihat dalam air nampak bayang-bayang
Campak satu batu bayang pun hilang


Wednesday, May 19, 2010

PANTUN ENAM KERAT

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludah dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.


Sumber: Permatang Budi, 1991.
Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Monday, May 17, 2010

LAGU KANAK-KANAK: BURUNG KAKAK TUA

Burung kakak tua
Hinggap di jendela
Nenek sudah tua
Giginya tinggal dua

Crek dung crek dung
Crek dung la la la
Crek dung crek dung
Crek dung la la la

Crek dung crek dung
Crek dung la la la
Burung kakak tua

Sunday, May 16, 2010

Gurindam: Anak Disayang Jangan Dimanja

Anak ibarat kain putih,
Diasuh diajar dididik dilatih.

Kalau anak tidak dilatih,
Jika besar ibu bapa letih.

Hati orang tua perlu dijaga,
Emak ayah berasa bangga.

Jika anak berbudi bahasa,
Itu tandanya membalas jasa.

Kepada ibu bapa wajib berbakti,
Selagi hidup sebelum mati.

Kalau anak tidak diajar,
Jika besar jadi kurang ajar.

Kalau anak hidup derhaka,
Diakhirat nanti masuk neraka.

Jika anak membalas jasa,
Ibu bapa berasa selesa.

Jadilah anak yang soleh,
Ke syurga sesungguhnya boleh.

Mendidik anak dari kecil,
Biar akalnya seperti kancil.

Anak yang baik mendengar kata,
Jiran tetangga tidak mengata.

Anak yang baik dengar nasihat,
Apabila besar tidaklah jahat.

Ibu bapa wajib dihormati,
Semoga hidup dirahmati.

Anak ibarat air jernih,
Harapan tinggi daripada benih.

Jatuh kelautan menjadi pulau,
Dari jauh nampak berkilau.

Jatuh kedaratan menjadi bukit,
Walaupun rebah segera bangkit.

Ilmu keibubapaan amat penting,
Jangan sampai anak dibanting.

Marah ibu tanda sayang,
Marah bapa tangan terbayang.

Hendak mendidik bukan mudah,
Terlebih rotan membawa padah.

Jangan sampai dikata mendera,
Batin terseksa azab sengsara.

Jangan abaikan pendidikan agama,
Dunia akhirat difikirkan bersama.

Hendaklah selalu tunaikan solat,
Tidak diamal terasa ralat.

Jika ibu bapa tidak mesra,
Anak sendiri takut bersua.

7 tahun pertama kasih sayang,
Tak dengar cakap rotan melayang.

7 tahun kedua adalah pembentukan,
Remaja dibimbing demi pendidikan.

7 tahun ketiga jadi sahabat,
Jangan menyesal sebelum terlambat.

7 tahun keempat membina keluarga,
Barulah tahu anak sukar dijaga.

Anak disayang jangan dimanja,
Supaya berani sedia teruja.


Mas adeki
2 januari 2005

Tuesday, May 11, 2010

PANTUN DUA KERAT

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Mengata dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Mentimun bongkok dibalik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Dahulu parang sekarang besi,
Dahulu sayang sekarang benci.

Tukul takal muka pintu,
Orang nakal memang begitu.

Keli masuk ruan keluar,
Matahari masuk bulan keluar.

Duduk inding enggang tap,
Senduk di dinding, panggang di atap.

Secupak padi, setahil berangan,
Tersepak kaki, terkehel tangan.

kapal belayar dalam semak,
Perut lapar semua lemak.


Sumber: Permatang Budi,1991.
Fajar bakti Sdn. Bhd.

Monday, May 10, 2010

SYAIR PESAN IBU

Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanya itulah jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan.

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.
Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelombang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.


Sumber: Zurinah Hassan
Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka.


Friday, May 7, 2010

PANTUN TEKA-TEKI

Ikan selar dalam kuali,
Kuali diletak celah dapur;
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Tanam pisang sulung tahun,
Malam-malam tanak nasi;
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Buah cermai di dalam dulang,
Tepung digaul minyak sapi;
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.


Sumber: Iladam
Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, May 6, 2010

GURINDAM MEMELIHARA ANGGOTA DAN HATI DARIPADA KEJAHATAN

Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.

Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.

Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
Di situ banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.


Sumber: Raja Ali Haji
Puisi Melayu Tradisional, 1997.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, May 5, 2010

LAGU KANAK-KANAK: RASA SAYANG

Rasa sayang eh
Rasa sayang sayang eh
Eh lihat nona jauh
Rasa sayang sayang eh

Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

SELOKA PAK PANDIR

Anak dipijak dagang dijinjing,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh di langit,
Air di tempayan dicurahkan,
Mulut kene suap pisang,
Buntut kene cangkuk onak,
Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung,
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram,
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga berkecundangan.


Sumber: Puisi Melayu Tradisional, 1997.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

CONTOH MENDEKLAMASIKAN GURINDAM

CONTOH MENDEKLAMASIKAN PANTUN

CONTOH MENDEKLAMASIKAN SYAIR

PENGENALAN LAGU KANAK-KANAK


Sejak kecil lagi, kita dihidangkan dengan lagu kanak-kanak. Lagu ini sama ada kita pelajari dari sekolah, kawan-kawan, atau dari bahan bacaan. Lagu-lagu ini juga terdiri dari pelbagai bentuk. Antaranya ada yang berunsur nasihat, jenaka, teguran dan lain-lain. Disamping itu, lagu kanak-kanak ini juga ada yang diambil dari puisi tradisional contohnya dari pantun.Antara lagu kanak-kanak terdahulu ialah rasa sayang, burung kakak tua, tanya sama pokok dan pelbagai lagi.Lagu-lagu ini masih di dalam ingatan rakyat Melayu sekarang sama ada kanak-kanak, warga muda mahupun warga tua. Jika kita tanya pada mereka pasti mereka masih ingat lagu itu walaupun hanya satu rangkap.Oleh itu, lagu kanak-kanak ini masih dalam ingatan.Seperti kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

PENGENALAN SELOKA

Seloka
=> Ditulis secara berangkap-rangkap
=> Rima akhir tidak tetap
=> Setiap baris mengandungi isi atau maksud

Seloka merupakan bentuk puisi Melayu Klasik, berisikan pepetah maupun perumpamaan yang mengandung senda gurau, sindiran bahkan ejekan. Biasanya ditulis empat baris memakai bentuk pantun atau syair, terkadang dapat juga ditemui seloka yang ditulis lebih dari empat baris. Kata "seloka" diambil dari bahasa Sansekerta iaitu sloka.

PENGENALAN GURINDAM

Gurindam
=> Biasa mengandungi 2 baris ayat
=> Bebas bilangan barisnya
=> Baris 1 tersimpul fikiran yang berupa soalan, baris 2 berupa jawapan bagi
baris 1

Gurindam mempunyai banyak definisinya mengikut pandangan tokoh masing-masing. Misalnya menurut Raja Ali Haji pula menjelaskan pembentukan gurindam menjadi dua baris yang bersajak. Setiap baris adalah kalimat dan hubungan antara kalimat itu biasanya disebut sama ada anak kalimat dengan induk kalimat. Jumlah suku katanya adalah berbeza. Namun dijelaskan ada gurindam yang mempunyai lebih dari dua baris dan berlapis-lapis. Manakala menurut Za'ba,1962 di dalam karyanya Ilmu mengarang Melayu, perkataan gurindam itu berasal daripada bahasa Sanskrit menerusi bahasa Tamil. Ertinya biasa di fahamkan rangkap yang telah menjadi bidalan atau sebutan biasa pada orang ramai ataupun sesuatu pepatah berangkap yang di sebutkan berpadanan dengan tempatnya. Selain itu menurutnya lagi, gurindam itu adalah padat dan bernas. Ianya dihasilkan sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran. Harun Mat Piah mendefinisikan gurindam adalah sejenis karya klasik Melayu yang tak tentu bentuknya sama ada terikat ataupun tidak. Gurindam mempunyai fungsi dan peranannya dalam masyarakat Melayu iaitu sebagai tujuan didikan, hiburan, gambaran masyarakat Melayu lama dan digunakan dalam majlis-majlis formal.

Sumber: 1) http://www.scribd.com/doc/5385029/gurindam-berlapis
2) http://www.scribd.com/doc/15871230/SYAIR-DAN-GURINDAM

PENGENALAN PANTUN

Pantun
=> 2, 4, 6, 8, 10, 12 atau 14 baris dalam satu rangkap
=> Rima a, a, b, b
=> Baris 1 dan 2 ialah pembayang, baris 3 dan 4 ialah maksud

Pantun terdapat dalam pelbagai bentuk. Contohnya ada yang berbentuk nasihat, adat, agama, teka-teki, jenaka dan ada juga yang peribahasa.


Di samping itu, pantun juga mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun merupakan jenis puisi Melayu lama yang tertua dan asli yang amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama. Contohnya dalam acara pemainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara.Justeru itu, pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa bentuk. Antaranya dalam bentuk teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan bentuk-bentuk isi atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap bentuk isi pantun itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain yang berhubung.

Pantun yang isinya mengemukakan tentang nasihat, adat dan agama pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun nasihat misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk. Walaupun demikian, isi tentang adat dan agama tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. Umpamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.

Pantun jenis peribahasa juga mudah dikenali. Ini kerana melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun kias dan ibarat pula sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam. Pada pantun teka-teki yang memerlukan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir dengan tepat.

Pantun jenaka yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan sindiran di dalamnya.

sumber: http://nicksyam.tripod.com/jenis.htm

PENGENALAN SYAIR

Syair
=> 4 baris dalam satu rangkap
=> Setiap baris mempunyai hubungan
=> Rima a, a, a, a

Syair adalah puisi atau karangan dalam bentuk terikat yang mementingkan irama sajak. Istilah syair dikatakan berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Mengikut Harun Mat Piah, 1989 syair Melayu dikatakan tidak beracunkan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi syair Melayu sudah mempunyai bentuk dan acuan Melayu asli masyarakat Melayu sendiri. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang menyatakan syair Melayu menerima pengaruh puisi Arab. Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma; Fusus Al-Hikam, Al-Insan Al-Kamil yang dibawa oleh pengembang Islam ke Melaka.


Sumber: http://www.scribd.com/doc/5470828/syair-nasihat